Komunikasi Dengan Allah – DOA
Solat dan doa adalah antara cara kita berkomunikasi dengan Allah.
Mengapa kita berdoa?
Berdoa akan mewujudkan rasa penghambaan(ubudiyyah) kita kepada Allah. Kita sebagai hamba yang lemah dan tidak berdaya memohon kepada Pencipta kita, Yang Maha Kuasa terhadap segala sesuatu.
Kunci Untuk Berdoa
Kuncinya untuk berdoa adalah Y2K iaitu
Kita perlu selalu bertanya kepada diri kita ketika berdoa, sejauh mana keyakinan kita setiap kali kita mengungkapkan doa kita itu?
- 2K ialah yakin dengan dua perkara iaitu;
1. Allah itu sentiasa mendengar doa kita kerana doa adalah komunikasi kita dengan Allah.
2. Allah berjanji akan memperkenankan setiap doa hamba-hambanya.
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu…” [2:186]
- Dan ditambah dengan KHUSYUK.
Kita khusyuk dalam doa sama seperti khusyuk di dalam solat kita. Ia lahir apabila kita faham dan menghayati doa yang kita bacakan. Maka, jika hendak membaca doa di dalam bahasa Arab, cubalah cari makna dan maksud doa itu di dalam bahasa yang kita fahami.
Perkara Tambahan Kunci Untuk Berdoa
Antara perkara yang perlu dititik-beratkan ialah adab-adab berdoa seperti menghadap kiblat, berwuduk, mengangkat tangan dan suara sederhana.
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” [7:55]
Cara yang terbaik dalam berdoa adalah seperti yang Allah ajarkan kepada ahli syurga,
“Doa ucapan mereka (di dalam Syurga) ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan. Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah Segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” [10:10]
Berdoa Selain Kepada Allah
Memohon atau meminta selain kepada Allah boleh menjerumuskan kita kepada syirik. Berharap kepada manusia samaada bomoh, pemimpin atau sesiapa sahaja yang sebenarnya bersifat lemah dan sementara adalah sangat perlu dielakkan.
“Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah.” [22:73]
Mengapa Doa Tidak Makbul?
Penyebab utama doa tidak dimakbul ialah :
1. Makanan haram
2. Gopoh dalam berdoa
Dalam koleksi Hadis 40 Imam Nawawi, hadis ke-10 menyebut :
Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda : “Sesungguhnya Allah Ta’ala baik. Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta’ala berfirman: ‘Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh’. Dan Allah Ta’ala berfirman: ‘Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu’. Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?” [Hadis Riwayat Muslim]
Daripada hadis di atas, dapat dilihat bahawa bukti-bukti utama penghalang kepada doa ialah pemakanan yang haram. Yang dikatakan haram dalam konteks ini membawa kepada dua maksud :
a) Makanan itu sendiri haram hukumnya seperti babi, arak dan lain-lain.
b) Sumber makanan itu adalah haram seperti rasuah, harta pusaka atau harta anak yatim dan banyak lagi.
Hadis tersebut menerangkan bagaimana seorang lelaki yang memenuhi kriteria orang yang akan dimakbulkan doanya seperti bermusafir, bersungguh-sungguh berdoa dengan mengangkat tangan ke langit serta berkali-kali menyebut Tuhan-nya. Namun, doanya ditolak kerana makan, minum dan pakaiannya haram.
Gopoh dalam berdoa adalah kita mahu doa kita dimakbulkan serta-merta atau dalam masa terdekat. Doa kita insyaAllah akan dimakbulkan, cuma bila dan bagaimana doa itu dimakbulkan adalah kerja Allah yang kita perlu yakin bahawa Allah memberi yang terbaik kepada kita.
“Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).” [27:62]
0 komentar:
Posting Komentar